Sunday, 29 October 2017

Sejarah Mekah


Makkah Al-Mukarramah merupakan bandar yang paling lama dan penuh bersejarah. Bumi Makkah telah dipilih oleh Allah S.W.T sebagai bumi pertama yang dijadikanNya dan menjadi tapak rumahNya yang mulia. Bumi bertuah ini juga merupakan tempat Nabi Ibrahim AS meninggalkan anak dan isterinya kerana perintah Allah, tempat terbitnya air yang paling berkat atas muka bumi dan merupakan tempat kelahiran Rasulullah S.A.W sebagai Rasul yang terakhir.

*Masyarakat Mekah sebelum kedatangan sebelum kedatangan Islam:

Makaroba merupakan nama asal bagi Kota Mekah yang kemudiannya diubah kepada Bakah dan akhirnya kepada Mekah. Puak Amaliqah merupakan puak terawal yang mendiami Mekah. Selepas puak Amaliqah kalah dalam perang dan diusir. puak Jurhum pula mendiami Mekah. Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail telah diperintahkan oleh Allah untuk mendirikan Kaabah di Kota Mekah. Peristiwa ini berlaku semasa puak Jurhum menguasai Kota Mekah. Tidak lama kemudian, Bani Khuza'ah telah berjaya menguasai pemerintahan Kota Mekah selama tiga kurun sehingga ia diperintah oleh kaum Quraisy dibawah pimpinan Qusay bin Qilab. Di bawah pemerintahan kaum Quraisy, Kota Mekah menjadi pusat ibadat dan pusat perdagangan. Ramai pengunjung datang untuk beribadat dan mengerjakan haji di Kaabah. Pada waktu tersebut, Mekah merupakan pusat perdagangan dan pusat kebudayaan yang penting di Semenanjung Tanah Arab.

*Kaum Quraisy

Kaum Quraisy berasal daripada keturunan Arab Adnaniyyah dan merupakan kelompok terbesar di Mekah. Perkataan Quraisy berasal dari perkataan 'taqarrasha' yang bermaksud penyatuan. Perkataan ini lahir hasil daripada kejayaan Qusay bin Qilab menyatukan kaum Quraisy di Mekah. Puak-puak Quraisy yang tekenal di Mekah berasal daripada Bani Hasyim, Bani Umaiyah, Bani Yazqah, Bani 'Adi dan Bani Taym. Tokoh-tokoh yang terkenal dari puak-puak Quraisy ialah: Rasulullah S.A.W daripada keturunan Bani Hasyim, Muawiyah bin Abu Sufian daripada keturunan Bani Umaiyah, Khalid Al-Walid daripada Bani Makhzum, Abu Bakar As-Siddiq daripada Bani Taym dan Umar Al-Khattab daripada keturunan Bani 'Adi. Kaum Quraisy yang tinggal di pinggir Kota Mekah dikenali sebagai Quraisy Al-Zawahir. Mereka terkenal sebagai tentera yang gagah yang bertugas mengawal kota Mekah dari serangan musuh. Kaum Quraisy Al-Bitah pula menetap di bahagian tengah kota Mekah. Mereka melibatkan diri dalm bidang pentadbiran, ekomoni dan politik. Perebutan kuasa yang berlaku antara anak Qusay bin Qilab telah menyebabkan kaum Quraisy berpecah kepada dua pihak yang sering bertelagah. 2 puak ini kemudian berpecah kepada puak-puak kecil.

Saturday, 28 October 2017

Geografi Mekah

Arab Saudi terletak di kepulauan Arab merupakan negara terbesar dan terkaya di Timur Tengah. Mempunyai keluasan wilayah 2 240 000 KM persegi, merangkumi 4/5 dari semenanjung Arab. Permukaan terendah di sini ialah Teluk Persia pada 0m dan Jabal Sauda' pada 3.133m. Arab Saudi terkenal dengan banyak gurun, antara gurun yang terkenal ialah "daerah kosong" (Rub al-Khali) iaitu gurun yang terluas di dunia. Manakala di bahagian darat daya terdapat pergunungan yang hijau dan berumput.

Arab Saudi Terletak di persimpangan antara benua Eropah, Asia dan Afrika. Batas negara ini ialah:

1) Sebelah Timur - Teluk Persia dan UAE
2) Sebelah Barat - Laut Merah dan Teluk Aqaba
3) Sebelah Utara - Jordan, Iraq dan Kuwait
4) Sebelah Selatan - Oman dan Yaman

Arab Saudi dibahagikan kepada 13 daerah (mintaqah):

1) Bahah
2) Hudud ash-Syamaliyah
3) Jawf
4) Madinah
5) Qasim
6) Riyadh
7) Syarqiyah (daerah timur)
8) Asir
9) Ha 'il
10) Jizan
11) Makkah
12) Najran
13) Tabuk

Majoriti penduduknya berbangsa Arab dan beragama Islam. Suku utama adalah suku Quraisy yang dikenali sebagai bangsawan dan pembesar Arab. Rasulullah S.A.W dari bani Hasyim Quraisy. Jumlah keseluruhan penduduknya ialah dianggarkan 30 juta.

Sunday, 15 October 2017

MASJID-MASJID BERSEJARAH DI MADINAH

Masjid-Masjid Bersejarah Di Madinah


1. Masjid Quba



Hari Isnin, 8 Rabiul Awwal 622M Rasulullah SAW tiba di perkampungan Quba dalam perjalanan hijrah dari Makkah. Baginda tinggal di kampung ini selama 4 hari bersama Bani Amru bin Auf di umah Kalthum bin al-Hadm. Pada hari pertama itulah Rasulullah SAW terus membina masjid Quba. Rasulullah SAW sendiri turut serta dalam pembinaan ini dengan mengangkut batu-bata dan pasir-pasir bersama para sahabatnya. Setelah siap, Rasulullah SAW mengimami sendiri solat berjemaah secara terbuka bersama para sahabat di Masjid Quba berkiblatkan Masjid al-Aqsa pada waktu itu.

Masjid ini adalah masjid pertama yang dibina berasaskan taqwa dan iman. Allah SWT berfirman dalam surah at-Taubah ayat 108 :

لاَ تَقُمْ فِيهِ أَبَدًا لَّمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَى مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِيهِ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَن يَتَطَهَّرُواْ وَاللّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِين

Maksudnya : Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Quba’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar takwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya dan Allah mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).

Rasulullah SAW selalu datang ke Masjid Quba’ ini pada setiap hari Sabtu sama ada menaiki unta atau berjalan kaki. Kadang-kadang Rasulullah SAW datang pada hari isnin dan khamis. Rasulullah SAW bersabda :

“Sesiapa yang berwudhu’ di rumahnya kemudian pergi ke Masjid Quba’ untuk solat, akan diberi ganjaran pahala seperti pahala menunaikan umrah”.
                                                                                                                                  (HR Ibnu Majah)



Selepas wafatna Rasulullah SAW, para sahabat sentiasa menziarahi Masjid Quba’ dan bersolat di sana. Zaid bin Aslam berkata : “Segala puji bagi Allah yang telah mendekatkan kita dengan masjid Quba’. Sekiranya ia berada jauh di hujung dunia, nescaya kami akan bermusafir kepadanya”.

Front view of Masjid Quba

Front view of Masjid Quba – Photo: B.Munier

2. Masjid al-Jumuah

Masjid ini terletak di tengah kebun tamar di wadi  (lembah) Ranauna di perkampungan Bani Salim bin 'Auf. Jaraknya kira-kira 0.5 km dari utara Masjid Quba' dan 2.5 km dari bandar Madinah. Setelah 4 hari berada di Quba', Rasulullah SAW keluar pada hari Jumaat menuju ke bandar Madinah. Ketika tiba di Wadi Ranauna iaitu berhampiran perkampungan Bani Salim bin 'Auf, waktu solat jmaat telah masuk. Baginda pun menunaikan solat Jumaat di tengah-tengah Wadi itu. Itulah solat Jumaat pertama yang didirikan oleh Rasulullah SAW selepas hijrah secara terang. Walaupun fardu Jumaat telah diwajibkan di Makkah tetapi oleh kerana tidak ada kekuasaan dan kekuatan maka ia tidak dapat dilaksanakan. Sebuah masjid kemudiannya dibina di tempat tersebut dan dinamakan Masjid al-Jumuah bersempena dengan peristiwa tersebut.

Front of Masjid Jummah


3. Masjid Qiblatain


Terletak di tengah-tengah perkampungan Bani Salamah, iaitu di sebelah barat daya Madinah. Ia dikelilingi oleh kebun-kebun. Manakala Wadi al-Aqiq pula terhampar di sebelahnya. Sewaktu Rasulullah SAW tiba di Madinah, Baginda diarahkan supaya menghadap ke arah Baitul Maqdis (kiblat solat) dan ramai di antara penduduk Madinah waktu itu daripada kalangan Yahudi dan memang kiblat mereka ialah Baitul Maqdis. Yahudi gembira dengan tindakan Rasulullah SAW ini, sedangkan baginda lebih menyukai kiblat solat ditukar ke arah Baitullah. Rasulullah SAW pun berdoa dan memandang ke langit mengharapkan turunnya wahyu mengizinkannya dan para sahabat berpaling ke Baitullah. Lalu turun surah al-Baqarah ayat 144 :



قَدْ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاءِ ۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا ۚ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ ۗ وَإِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِنْ رَبِّهِمْ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ

Maksudnya: Sungguh Kami (sering) melihat mukamu menengadah ke langit, maka sungguh Kami akan memalingkan Kamu ke kiblat yang kamu sukai. Palingkanlah mukamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Al-Kitab (Taurat dan Injil) memang mengetahui, bahawa berpaling ke Masjidil Haram itu adalah benar dari tuhannya; dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang mereka kerjakan.



Front of Masjid Qiblatain

4. Masjid Al-Musolla


Al-Musalla bermaksud tempat solat. Rasulullah SAW mengerjakan solat Hari Raya di sekitar kawasan terbuka di al-Manakha dan kemudiannya menjadikan kawasan masjid ini sebagai tempat khas bagi solat Hari Raya. Solat Hari Raya yang pertama dilakukan oleh Rasulullah SAW ialah pada tahun kedua hijrah (624M).


Masjid al-Musalla dikenali juga sebagai Masjid Al-Ghamamah. Terletak di sebelah selatan Madinah, iaitu berhadapan dengan Pasar Tamar sekarang. Bewarna kelabu dan berkubah putih. Pernah dijadikan tempat melaksanakan hukuman qisas. Abu Hurairah pula berkata: "setiap kali Rasulullah SAW melalui al-musalla, Baginda akan menghadap ke arah kiblat dan berdoa."

Dinamakan al-Ghamamah (awan) kerana setiap kali Rasulullah SAW bersolat di kawasan tersebut, awan akan sentiasa menaungi Baginda daripada panas terik cahaya matahari.

5.Masjid As-Syajarah

Al-syajarah bermaksud pokok. Sementara pokok yang menjadi sebab penamaan masjid ini ialah pokok 'samurah' atau Acacia di kawasan Zulhulaifah. Sebuah masjid yang dipercayai dibina di atas tapak tertanamnya sebatang pohon lama yang hidup pada zaman Nabi Muhammad SAW. Masjid ini terletak berhadapan dengan Masjid Jin.


Terdapat satu pohon di mana Nabi Muhammad memanggilnya lalu pohon tersebut berjalan mendekati Nabi Muhammad. Diriwayatkan oleh Ibnu Zubalah bahawa Rasulullah SAW selalu duduk di bawah pokok ini  apabila Baginda singgah di situ ketika dalam perjalanan ke Mekah untuk menunaikan haji dan umrah. Abu Hurairah r.a. pula meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersolat berdekatan dengan tiang di tengah Masjid al-Syajarah.

Sekarang dikenali dengan nama Masjid Miqat Zulhulaifah atau Bir Ali. Dikenali juga sebagai Masjid al-Muhrim, iaitu tempat berniat ihram haji atau umrah bagi penduduk Madinah atau mereka yang datang dari Madinah.

Berkas:مسجد ذوالحلیفه.jpg

6. Masjid Al-Sajadah

Masjid al-Sajadah masyhur dengan nama Masjid Abi Zar. Terletak di Jalan Lapangan Terbang dan Jalan Abi Zar iaitu dari belakang Masjid Nabawi menuju ke Bukit Uhud. Abdul Rahman bin Auf meriwayatkan:

"Pada suatu hari beliau melihat Rasulullah SAW masuk ke dalam taman dan melakukan solat, kemudian Rasulullah SAW sujud begitu lama di dalam solatnya itu. Setelah itu aku merasakan Allah telah mengambil nyawa rasul-Nya. Aku berasa dukacita lantas aku menangis. Setelah Rasulullah SAW mengangkat kepala-Nya Baginda memanggilku dan bertanya: "Kenapa kamu menangis? Apa yang mendukacitakan kamu?" Aku menjawab: "Wahai Rasulullah engkau telah sujud begitu lama, aku menyangka Allah telah mencabut rohmu, lalu aku berasa dukacita kerana tidak dapat bersamamu lagi."
Rasulullah SAW memberitahu sujudnya itu sebagai tanda syukur kepada Allah dan dalam sujudnya Jibrail a.s. telah datang membawa berita gembira bahawa sesiapa yang berselawat ke atas Baginda, Allah SWT akan membalasnya dengan sepuluh kebajikan.




7-Masjid Al-Ijabah

Nama asal adalah Masjid Bani Muawiyali al-Ausi kerana mereka adalah orang yang pertama membinanya. Masjid al-Ijabah bermaksud 'perkenan' kerana menurut Imam Muslim bahawa Rasulullah SAW melalui masjid ini, lalu singgah bersolat dua rakaat bersama para jemaah di masjid itu. Selepas itu Baginda SAW berdoa panjang kemudian berpaling dan bersabda kepada para sahabat:

"Aku telah memohon kepada Tuhan 3 perkara, Allah SWT telah menerima 2 daripadanya dan menolak yang ke-3 :

Pertama: Aku meminta agar umat ini tidak dibinasakan keseluruhannya dengan kemarau, Allah telah memperkenankan permintaanku itu.

Kedua: Aku meminta agar umat ini tidak dibinasakan keseluruhannya dengan banjir (seperti umat Nuh a.s.), Allah telah memperkenankannya.

Ketiga: Aku meminta agar umatku tidak bermusuh sesama mereka, tapi permintaan terakhir ini tidak diterima.

Masjid ini terletak di Jalan Sittin dengan binaan baru yang dibuat pada tahun 1997, berdekatan dengan Hospital Dharabatus Shams.





8- Masjid Al-Sabqa

Tapak masjid ini terletak di medan latihan lumba kuda para sahabat di zaman Rasulullah SAW. Nama masjid ini diambil bersempena dengan kegunaan tempat tersebut. Dibina pada abad ke-9H oleh Qadhi Muhyiddin al-Hambali. Lokasi sekarang ialah di permulaan terowong dari Jalan Abu Bakar Al-Siddiq, Madinah.



Wednesday, 4 October 2017

Geografi madinah

GEOGRAFI MADINAH 

Madinah terletak di tengah-tengah oasis (lembah) yang subur. Ia dikelilingi oleh:
  1. Bahagian barat - Harrah al-Gharbiyyah 
  2. Barat laut - Jabal Sila'
  3. Selatan - Jabal 'Eir dan Wadi al-'Aqiq
  4. Utara - Jabal Uhud, Jabal Thur dan Wadi Qanat
  5. Timur - Harrah Waqim al-Syarqiyyah dan Wabrah al-Gharbiyyah
 Madinah berada pada kedudukan 35.40 T 24.25 U dan berada 600 meter di atas permukaan laut. Jarak Madinah dari Jeddah adalah kira-kira 400 km, dari Makkah adalah 430 km dari Riyadh ialah 490 km. Dengan kedudukan ini, Madinah berada di laluan perdagangan di antara Syam dan Yaman.

Cuaca Madinah boleh disifatkan sebagai cuaca yang sangat panas pada musim panas, musim peralihan yang sederhana dan sangat sejuk pada musim sejuk.

Madinah terkenal dengan gunung berapi yang mengelilingi dari tiga arah iaitu sebelah timur ialah Herrat Al-Waqim, sebelah barat ialah Herrat Al-Wabrah serta sebelah tenggara dan tengah ialah Herrat Al-Karma. Di kota ini terdapat Gunung Uhud yang berada di sebelah utara. Gunung 'Eir di sebelah selatan dan Gunung Sal' berada di tengah kota.

SEMPADAN TANAH HARAM MADINAH

1. Dari arah utara dan selatan ialah sejauh 16 km iaitu diantara 'Ayr dan Thur. Dalam hadis riwayat      Bukhari, Muslim, Tarmizi, Ahmad dan Baihaqi Rasulullah s.a.w bersabda :

المدينة حرم ما بين غير الى ثور 

         "Tanah Haram Madinah adalah antara 'Ayr dan Thur."

'Ayr adalah nama sebuah bukit yang masyhur di sebelah Bukit Uhud di Utara Madinah. Bukit Uhud adalah termasuk dalam Tanah Haram Madinah.

2. Dari arah timur dan barat juga sejauh 16 km iaitu diantara 2 kawasan berbatu hitam di kedua-dua belah pihak berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w riwayat Muslim dan Baihaqi :



Rasulullah s.a.w telah menjadikan kawasan yang terletak diantara dua kawasan yang berbatu hitam di Madinah sebagai Tanah Haram.

  • Sempadan Tanah Haram Madinah adalah 16 km dari segenap penjuru timur-barat dan utara-selatan

SEJARAH MADINAH

Pada awalnya Madinah didiami oleh Bani Amaliq, kemudian beberapa kumpulan Yahudi berpindah ke sana. Selepas empangan Maarib runtuh, Bani Aus & Khazraj berpindah ke sana. Mereka menjadi pemerintah di Madinah sehinggalah kedatangan Rasulullah s.a.w.

Menurut Imam Nawawi r.h.m :

'Ketahuilah bahawa banyaknya nama menunjukkan kepada kebesaran yang dinamakan sebagaimana banyaknya nama Allah s.w.t dan nama RasulNya. Kita tidak mengetahui suatu tempat yang mempunyai banyak nama selain daripada Makkah dan Madinah kerana kedua-duanya merupakan sebaik-baik bumi disebabkan banyaknya sifat yang boleh dinamakan kepada kedua-duanya'

Sebelum hijrah Rasulullah s.a.w, Madinah dikenali sebagai Yathrib. Yathrib diambil sempena nama Yathrib bin Qaniah bin Mahla Bail bin Iram bin Qobail dari keturunan Nabi Nuh a.s. Nama ini disebut dalam Al-Quran merujuk kepada sebutan yang digunakan oleh golongan munafiqun dalam surah Al-Ahzab ayat 12-13 :

Dan ingatlah ketika orang munafik dan orang yang berpenyakit dalam hatinya berkata : Allah dan Rasulnnya tidak menjanjikan kepada kami melainkan tipu daya.
Dan ingatlah ketika segolongan antara mereka berkata : Wahai penduduk Yathrib, tidak ada tempat bagimu, maka kembalilah kamu.

Madinah mempunyai banyak nama. Ada pendapat yang mengatakan ia mempunyai 95 nama dan ada yang mengatakan 115 buah nama. Antara nama-nama yang terkenal ialah :

1) Madinah
- Madinah bermaksud bandar. Nama ini telah disebut sebanyak 4 kali dalam Al-Quran dan juga banyak disebut dalam hadith-hadith Rasulullah S.A.W. Antara ayat Al-Quran tersebut ialah dalam surah At-Taubah ayat 101

2) Taibah dan Tobah
- Berasal daripada perkataan "al-tib" yang bermaksud bauan yang harum mewangi. Juga daripada perkataan "al-tayyib" yang bermaksud baik, bersih. Ini kerana ia adalah sebuah bandar yang bebas dan bersih daripada syirik atau bererti kehidupan yang baik. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : "Ällah S.W.T telah menamakan Madinah : Thobah"          (sahih muslim)

Daripada riwayat lain, sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : "ini ialah Taibah iaitu Madinah. Menghapuskan kekotoran (dosa atau golongan yang tidak beriman) sebagaimana api membersihkan kotoran daripada perak"

Nama-nama lain ialah Al-Dar, Al-Balad, Madkhala Sidqin, Al-Qaryah, Al-Mahabbah, Al-Miskinah, Darul-Hijrah, Jabirah, Marhumah, Darul-Iman, Darus-Salamah, Majburah dan berbagai lagi.

Kini ia lebih dikenali sebagai nama al-madinah al-munawwarah bermaksud kota yang bercahaya atau al-madinah al-nabawiyyah yang bermaksud bandar Nabi SAW.



Keindahan Bumi Mekah dan Madinah Mekah merupakan lokasi yang tidak pernah lengang kerana menjadi tumpuan Umat Islam di seluruh du...