Wednesday, 4 October 2017

Geografi madinah

GEOGRAFI MADINAH 

Madinah terletak di tengah-tengah oasis (lembah) yang subur. Ia dikelilingi oleh:
  1. Bahagian barat - Harrah al-Gharbiyyah 
  2. Barat laut - Jabal Sila'
  3. Selatan - Jabal 'Eir dan Wadi al-'Aqiq
  4. Utara - Jabal Uhud, Jabal Thur dan Wadi Qanat
  5. Timur - Harrah Waqim al-Syarqiyyah dan Wabrah al-Gharbiyyah
 Madinah berada pada kedudukan 35.40 T 24.25 U dan berada 600 meter di atas permukaan laut. Jarak Madinah dari Jeddah adalah kira-kira 400 km, dari Makkah adalah 430 km dari Riyadh ialah 490 km. Dengan kedudukan ini, Madinah berada di laluan perdagangan di antara Syam dan Yaman.

Cuaca Madinah boleh disifatkan sebagai cuaca yang sangat panas pada musim panas, musim peralihan yang sederhana dan sangat sejuk pada musim sejuk.

Madinah terkenal dengan gunung berapi yang mengelilingi dari tiga arah iaitu sebelah timur ialah Herrat Al-Waqim, sebelah barat ialah Herrat Al-Wabrah serta sebelah tenggara dan tengah ialah Herrat Al-Karma. Di kota ini terdapat Gunung Uhud yang berada di sebelah utara. Gunung 'Eir di sebelah selatan dan Gunung Sal' berada di tengah kota.

SEMPADAN TANAH HARAM MADINAH

1. Dari arah utara dan selatan ialah sejauh 16 km iaitu diantara 'Ayr dan Thur. Dalam hadis riwayat      Bukhari, Muslim, Tarmizi, Ahmad dan Baihaqi Rasulullah s.a.w bersabda :

المدينة حرم ما بين غير الى ثور 

         "Tanah Haram Madinah adalah antara 'Ayr dan Thur."

'Ayr adalah nama sebuah bukit yang masyhur di sebelah Bukit Uhud di Utara Madinah. Bukit Uhud adalah termasuk dalam Tanah Haram Madinah.

2. Dari arah timur dan barat juga sejauh 16 km iaitu diantara 2 kawasan berbatu hitam di kedua-dua belah pihak berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w riwayat Muslim dan Baihaqi :



Rasulullah s.a.w telah menjadikan kawasan yang terletak diantara dua kawasan yang berbatu hitam di Madinah sebagai Tanah Haram.

  • Sempadan Tanah Haram Madinah adalah 16 km dari segenap penjuru timur-barat dan utara-selatan

SEJARAH MADINAH

Pada awalnya Madinah didiami oleh Bani Amaliq, kemudian beberapa kumpulan Yahudi berpindah ke sana. Selepas empangan Maarib runtuh, Bani Aus & Khazraj berpindah ke sana. Mereka menjadi pemerintah di Madinah sehinggalah kedatangan Rasulullah s.a.w.

Menurut Imam Nawawi r.h.m :

'Ketahuilah bahawa banyaknya nama menunjukkan kepada kebesaran yang dinamakan sebagaimana banyaknya nama Allah s.w.t dan nama RasulNya. Kita tidak mengetahui suatu tempat yang mempunyai banyak nama selain daripada Makkah dan Madinah kerana kedua-duanya merupakan sebaik-baik bumi disebabkan banyaknya sifat yang boleh dinamakan kepada kedua-duanya'

Sebelum hijrah Rasulullah s.a.w, Madinah dikenali sebagai Yathrib. Yathrib diambil sempena nama Yathrib bin Qaniah bin Mahla Bail bin Iram bin Qobail dari keturunan Nabi Nuh a.s. Nama ini disebut dalam Al-Quran merujuk kepada sebutan yang digunakan oleh golongan munafiqun dalam surah Al-Ahzab ayat 12-13 :

Dan ingatlah ketika orang munafik dan orang yang berpenyakit dalam hatinya berkata : Allah dan Rasulnnya tidak menjanjikan kepada kami melainkan tipu daya.
Dan ingatlah ketika segolongan antara mereka berkata : Wahai penduduk Yathrib, tidak ada tempat bagimu, maka kembalilah kamu.

Madinah mempunyai banyak nama. Ada pendapat yang mengatakan ia mempunyai 95 nama dan ada yang mengatakan 115 buah nama. Antara nama-nama yang terkenal ialah :

1) Madinah
- Madinah bermaksud bandar. Nama ini telah disebut sebanyak 4 kali dalam Al-Quran dan juga banyak disebut dalam hadith-hadith Rasulullah S.A.W. Antara ayat Al-Quran tersebut ialah dalam surah At-Taubah ayat 101

2) Taibah dan Tobah
- Berasal daripada perkataan "al-tib" yang bermaksud bauan yang harum mewangi. Juga daripada perkataan "al-tayyib" yang bermaksud baik, bersih. Ini kerana ia adalah sebuah bandar yang bebas dan bersih daripada syirik atau bererti kehidupan yang baik. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : "Ällah S.W.T telah menamakan Madinah : Thobah"          (sahih muslim)

Daripada riwayat lain, sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : "ini ialah Taibah iaitu Madinah. Menghapuskan kekotoran (dosa atau golongan yang tidak beriman) sebagaimana api membersihkan kotoran daripada perak"

Nama-nama lain ialah Al-Dar, Al-Balad, Madkhala Sidqin, Al-Qaryah, Al-Mahabbah, Al-Miskinah, Darul-Hijrah, Jabirah, Marhumah, Darul-Iman, Darus-Salamah, Majburah dan berbagai lagi.

Kini ia lebih dikenali sebagai nama al-madinah al-munawwarah bermaksud kota yang bercahaya atau al-madinah al-nabawiyyah yang bermaksud bandar Nabi SAW.



No comments:

Post a Comment

Keindahan Bumi Mekah dan Madinah Mekah merupakan lokasi yang tidak pernah lengang kerana menjadi tumpuan Umat Islam di seluruh du...